Wednesday, 9 February 2011

Harus ambil harta kerajaan untuk diri sendiri

Bukit Ketapang 6 Februari - Presiden Fatwa Fatwi Negeri Sebelah Utara, Dato' Sri Sunny Zack menyifatkan bahawa pemimpin negara yang mengambil kesempatan di atas kedudukan mereka untuk mengambil harta kerajaan adalah perintah Allah yang dikategorikan di dalam hukum harus. "Jika pemimpin ini tidak ambil, maka pemimpin lain yang jahat juga akan ambil. Serupa juga. Hukumnya menjadi harus," katanya ketika ditemui selepas Majlis Tilawah Al Quran Kanak-Kanak Taski Peringkat Daerah Sungai Pandan semalam.

Beliau menambah, jika mengambil harta kerajaan itu digolongkan sebagai haram pun tidak mengapa kerana pemimpin-pemimpin berkenaan tidak akan masuk neraka berseorangan. "Ramai lagi yang masuk neraka. Apa nak takut. Kita boleh tanggung ramai-ramai."

Sunny yang sering mencipta kontroversi kerana selalu mengeluarkan fatwa yang menyebelahi kerajaan juga ditanya apakah hukum pemimpin yang tidak amanah ketika memerintah. "Itu hukumnya haram yang harus," ujarnya.

Ditanya lagi apakah maksud hukum haram yang harus, Sunny menegaskan supaya rakyat Malaysia tidak perlu terlalu bertanya lebih lanjut tentang perkara yang sebegitu. "Kita perlu ambil iktibar dari kaum Yahudi ketika Allah memerintahkan mereka mencari seekor lembu. Jika saya kata haram yang harus, itu maknanya haram yang harus. Saya lebih pakar tentang agama dari kamu semua. Sebab itulah saya jadi Presiden Fatwa Fatwi," katanya tegas.

"Saya jadi Pengerusi Ferry pun salah"

Datin Seri Isya binti Abdul Saman mengambil pendirian tidak menghiraukan kenyataan pihak tertentu yang mempersoalkan pelantikannya sebagai pengerusi Persatuan Tanah dan Feri Persekutuan (Ferry) kerana tidak mahu menjejaskan fokus beliau.

Beliau berkata, sekiranya beliau terlalu memikirkan perkara itu, ia akan mengurangkan masanya untuk memfokuskan kepada bagaimana untuk mendapatkan duit Ferry yang banyak.

Sambil berjanji untuk berkongsi kekayaan dengan saudara mara sekiranya beliau mendapat komisen di dalam projek-projek Ferry, beliau berkata, "Orang yang tak suka saya dilantik itu sebenarnya dia dengki. Saya kenal siapa dia. Dulu dia lobi jawatan ini tapi akhirnya saya yang dapat. Lain kali kena baik dengan pemimpin negara baru boleh dapat jawatan Pengerusi Ferry. Saya tak akan letak jawatan di sini. Di sini ialah lubuk duit. Peserta-peserta Ferry juga senang untuk diperbodoh-bodohkan berbanding dengan orang lain."

Isya pernah terbabit dengan skandal rasuah dan didapati bersalah kerana terbabit dengan politik wang ketika pemilihan parti Tupperware dan digantung jawatannya oleh lembaga disipin Tupperware pada 2004.

Mengenai pencapaian Ferry, beliau berkata tahun lalu Ferry mencatatkan kerugian yang tinggi kerana keuntungan keseluruhan tidak dapat menampung jumlah komisen yang perlu dibayar kepada Pengerusi untuk satu-satu projek. "Saya tidak minta banyak. cuma RM5 juta untuk satu projek sahaja. Tapi komisen sekecil itu pun tidak dapat dibayar oleh Ferry. Jadi kerugian itu bukan salah saya. Ia salah Ferry secara keseluruhan."

Dengan kerugian yang ditanggung itu, Isya akan membuat siasatan dalaman sebagai satu usaha menambahkan jumlah komisen. " Tahun hadapan saya sasarkan untuk komisen meningkat kepada 10 juta untuk satu projek. Saya tidak boleh ambil tahu tentang kerugian Ferry kerana saya cuma boleh fokuskan kepada komisen diri sendiri. Jika Ferry rugi, itu memang salah pengurusan yang tidak cekap," tambahnya.

Monday, 7 February 2011

Novel Ahadiat Akashah ganti Interlock

Kuching, 3 Februari - Menteri Persekolahan, Tun Mohaideen Jasin mengumumkan bahawa novel-novel ciptaan penulis kisah remaja, Ahadiat Akashah akan menggantikan novel Interlock sebagai bahan bacaan baru bagi aliran Sastera Sijil Pelajaran Malaysia. Mesyuarat kabinet semalam telah bersetuju dengan keputusan itu dan sukatan mata pelajaran yang baru itu akan dilaksanakan menjelang sesi persekolahan semester kedua 2011.

"Keputusan ini adalah situasi menang-menang kepada semua pihak yang selama ini mempertikaikan Interlock sebagai bahan bacaan wajib pelajar SPM. Kementerian sangat memahami perasaan pelajar SPM yang kebanyakannya remaja belasan tahun dan novel cinta adalah sesuai dengan jiwa remaja mereka. Selain dari itu, saya percaya kaum India juga tidak akan memprotes lagi kerana perkataan pariah tidak pernah wujud di dalam novel-novel sebegini. Perkataan yang selalu ada ialah rindu dan cinta yang memang sentiasa ada di dalam filem-filem Hindustan," katanya.

Selain dari itu, pemilihan novel-novel berasaskan cinta adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkenalkan pendidikan seks di sekolah-sekolah menengah. "Dengan memperkenalkan matapelajaran seks dan novel-novel cinta, kementerian percaya pelajar-pelajar perempuan akan lebih menghargai dara mereka dan tentunya mereka akan melakukan seks dengan orang yang mereka cintai sahaja."

Mohaideen bagaimanapun berkata walaupun novel Ahadiat Akashah telah dipilih secara rasmi, kementerian masih belum memutuskan untuk memilih novel yang paling sesuai. "Kita ada banyak pilihan. Antaranya Hikayat Cinderella, Untuk Semua Gadis Yang Pernah Kucintai dan Sayap-Sayap Cinta. Kementerian mungkin akan memilih mana-mana novel yang mempunyai judul paling menarik." Tambahnya, ibu bapa tidak perlu risau kerana Ahadiat merupakan penulis yang prolifik dan menghasilkan banyak novel-novel cinta yang menyayat hati.

Ditanya mengenai penulis novel Interlock yang mungkin akan terkilan kerana karyanya telah disingkirkan, beliau menyatakan bahawa Abdullah Hussain tidak perlu berasa begitu kerana dia pun sudah tua. "Tak elok orang-orang tua merajuk. Nampak buruk. Nak pujuk pun malas," katanya.

Tuesday, 1 February 2011

Saya tak nak jadi Presiden lagi - Murtabak


Kirarah 2 Februari - Presiden Usir, Hussin Murtabak berkata beliau sudah tidak mahu menjadi Presiden Usir lagi tetapi menolak desakan untuk mengosongkan kerusinya kerana berasa selesa dengan kerusi baldu yang telah didudukinya sekian lama.

Pengumuman melalui perutusan di televisyen itu menyebabkan rakyat yang sedang berkumpul di Dataran Merdeka ketawa kerana menandakan Presiden mereka telah nyanyuk dan lupa.

Penegasan Murtabak untuk terus kekal di atas kerusinya walaupun gempa bumi menimpa jelas tidak menepati tuntutan kumpulan berhaluan kiri untuk menamatkan demonstrasi secara aman menuntut supaya dikembalikan kerusi baldu itu kepada kerajaan sejak 2 minggu lepas.

"Saya tidak mahu menjadi Presiden lagi. Saya harap anak bongsu saya dapat menjadi Presiden yang baru kerana saya sudah lama berkhidmat kepada Usir dan rakyatnya. Walaupun kerusi ini dibeli dengan duit kerajaan, saya berhak untuk menyimpan kerusi baldu ini kerana ia memberi banyak kenangan manis sepanjang saya menjadi Presiden," katanya sambil disambut dengan ketawa yang lebih kuat oleh penunjuk perasaan di Dataran Merdeka.

Pengundi DUN Terang minta maaf

Terang 31 Jan - Persatuan Pengundi-Pengundi DUN Terang (Pendut) hari ini sepakat memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana telah tersilap mengundi pada pilihanraya kecil baru-baru ini. Presiden Pendut, Markom Gires di dalam satu majlis baru-baru ini berkata, kesilapan pengundi-pengundi DUN Terang memilih calon telah membuatkan satu negara menjadi merana.

"Saya tidak sangka parti Bharatiya Namaste (BN) bertindak menaikkan harga minyak sebaik saja kemenangan calon mereka di Terang. Jika pengundi-pengundi Terang dapat menjangka ini berlaku, tentu kami tidak akan undi. Justeru itu, kami sepakat memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana kecuaian kami telah menyebabkan semua orang menjadi susah," kata Markom. Di dalam pilihanraya kecil yang diadakan baru-baru ini, calon BN, Hussin Yahya menewaskan calon Parti Apa Sahaja (PAS), Normala Samsuddin dengan majoriti 3500 undi.

"Mereka datang beri kain pelekat seorang sehelai. Ada di beberapa tempat mereka beri duit bekal RM50.00. Jadi siapa yang tak mahu dapat kain pelekat? Malah isteri saya pun dapat kain batik Langkawi. Sebab kami dapat kain pelekat dan kain batik Langkawi, maka saya undi BN. Tak sangka pula dia bagi semua itu, tapi dia nak naikkan harga minyak," kata Markom lagi. Tambahnya, rata-rata penduduk Melayu di sini memang suka memakai kain pelekat pada waktu malam. Beliau merasakan bahawa parti BN telah melakukan pendekatan psikologi yang tepat ketika mendekati pengundi di sini.

Kebanyakan ahli Pendut yang ditemui menganggap kain pelekat adalah punca undi mereka berubah pada saat akhir. Setiausaha Pendut, Isa Ahmad memaklumkan bahawa ada ahli Pendut yang berazam tidak akan mengundi lagi pada pilihanraya akan datang kerana terlalu malu. "Kain pelekat yang mereka dapat pun sudah kotor sebab kena air banjir. Memang tak berbaloi betul," katanya.

Seorang ahli Pendut, Tukiman Jawa mengakui berasa bersalah kerana telah tersilap mengundi pada pilihanraya itu. "Saya tak tidur lena semalam. Bila mengingatkan saya perlu tambah lebih 10 sen untuk beli minyak lori sawit, saya berasa sangat menyesal," katanya ketika ditemui di pusat penempatan banjir semalam. Beliau seterusnya memohon supaya pilihanraya kecil diadakan sekali lagi sebaik sahaja bencana banjir ini berakhir dengan harapan harga minyak dapat diturunkan kepada RM2.40.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilih-Pilih Malaysia (SPM), Tan Sri Robert Downing memaklumkan bahawa pilihanraya semula tidak akan diadakan walaupun musim banjir berakhir. "Pengundi harus diingatkan bahawa pilihanraya hanyalah prosedur sahaja. Sebenarnya SPM sudah mempunyai calon pilihan untuk menang sebelum penamaan calon bermula lagi. Oleh kerana calon pilihan SPM telah menang pada pilihanraya kecil yang lalu, maka pilihanraya semula tidak akan diadakan. Hanya jika calon pilihan kami kalah, baru pihak kami akan pertimbangkan untuk adakan pilihanraya semula." Tambahnya lagi, permohonan maaf dari pihak Pendut adalah salah kerana tidak selaras dengan Seksyen 6 Akta Suruhanjaya Pilih-Pilih Malaysia. "Kita akan lihat apa tindakan yang boleh dikenakan kepada Pendut. Mungkin kita akan mengharamkan mereka dari mengundi lagi pada masa hadapan," tambahnya.

Calon BN, Hussin Yahya pula menyatakan bahawa permohonan maaf itu sudah terlambat kerana kemenangannya sudah diumumkan. "Bagi mengurangkan rasa bersalah pengundi-pengundi berkenaan, kita akan menggantikan semua kain pelekat yang sudah kotor kerana banjir kepada kain pelekat yang baru. Mungkin selepas ini mereka akan berasa undi mereka lebih berbaloi," ujarnya.

Saya sudah ada pengganti - Fisya Sendu

Beberapa hari selepas mengaku putus hubungan dengan anak seorang Dato' dari selatan tanahair, penyanyi kontroversi Fisya Sendu memaklumkan bahawa beliau kini sedang bahagia bercinta dengan seorang jejaka yang masih dirahsiakan. Wajahnya jelas ceria ketika di dalam sidang media yang diadakan di rumahnya untuk memaklumkan perkara berkenaan.

"Saya sekarang sedang bahagia. Insya Allah, dalam 2 3 minggu lagi kami akan melangsungkan perkahwinan," ulasnya tanpa ditanya. Tidak lokek untuk berkongsi cerita cintanya dengan wartawan, Fisya memaklumkan bahawa mereka saling mengenali kerana jejaka itu selalu mengikuti perkembangannya di Twitter. Setelah berkenalan selama 2 hari, mereka telah mengadakan temujanji pertama di sebuah restoran mewah di pinggir ibu kota semalam. "Dia sangat istimewa. Dia membelanja makan malam kami semalam dan dari gayanya, memang saya nampak dia seorang yang kaya. Dia 'swipe' kad kredit dengan penuh yakin, dan dia jemput saya dari rumah pun dengan menaiki jet peribadi. Ini sungguh berbeza dengan seorang lagi jejaka yang cuma sewa helikopter semasa nak berjumpa dengan saya."

Menurut penyanyi bersuara itik serati itu lagi, kenangannya bersama-sama dengan kekasih lamanya Faizal sudah lama ditinggalkan dan dia sedang memandang ke hadapan demi kerjaya nyanyian yang semakin berkembang. Ketika ditanya tentang faktor putusnya hubungan dengan anak Dato' berkenaan, Fisya terus terang mengakui bahawa dia sebenarnya sudah lama mahukan hubungan itu putus kerana Faizal ialah seorang duda.

"Saya gelilah dengan duda-duda ni. Apa kelas wanita macam saya dapat duda. Sepatutnya saya dapat seorang teruna kerana saya pun masih lagi dara. Errrr, maksud saya sebab saya tak kawin lagi. Eloklah Faizal balik ke pangkuan isteri dia. Lagipun saya dengar dia bukan setakat ada seorang isteri. Dia pernah kahwin lari masa dia masih remaja dulu."

Mengulas mengenai kontroversi beliau berpakaian bikini semasa bercuti di Perth baru-baru ini, Fisya mengharapkan supaya rakyat Malaysia tidak memandang peristiwa itu dari perspektif yang sempit. "Masa itu cuaca panas. Saya tak selesa nak memakai baju. Nanti kalau pakai baju badan saya akan berpeluh. Bila berpeluh bakteria dengan mudah akan menyerang badan saya kerana antibodi badan saya tak begitu kuat. Saya harap janganlah diperbesarkan cerita ini. Saya memakai bikini demi untuk mengelakkan penyakit," ujarnya mengakhiri sidang media berkenaan.